London: Kesilapan pertahanan Leicester City, Wout Faes memberikan peluang buat Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara apabila menjaringkan dua gol sendiri sekali gus menyaksikan pasukannya tewas 1-2 di Anfield.
Leicester bermula dengan baik apabila Kiernan Dewsbury-Hall mereka di depan seawal minit keempat namun barisan serangan Liverpool yang lemah perlu mengucapkan terima kasih kepada Faes.
Pada minit ke-38, Faes, yang beraksi pada musim pertamanya selepas perpindahan daripada Reims, cuba mengeluarkan hantaran lintang Trent Alexander-Arnold tetapi ia menuju ke gawangnya sendiri, menewaskan penjaga gol Danny Ward.
Tujuh minit kemudian, percubaan Darwin Nunez melepasi Ward dan terkena tiang, tetapi Faes sekali lagi menyebabkan bola menerjah gawangnya sendiri.
FAES tertampan bola ke gawang sendiri dua kali. FOTO Reuters
Keputusan itu meletakkan Liverpool di tangga keenam, dua mata di belakang pasukan di kedudukan empat teratas, manakala Leicester turun di tangga ke-13.
“Ada ketikanya saya fikir kami tidak bermain dengan baik hari ini. Tapi penting untuk mendapatkan tiga mata dan menang,” kata pertahanan Liverpool Virgil Van Dijk.
“Kami cuba untuk bangkit dalam permainan tapi kami tidak cukup bagus dan kami tahu itu. Kami menang itu adalah positif tetapi ada banyak perkara yang perlu kami perbaiki.”
Sementara itu, aksi terakhir West Ham tahun ini diiringi cemuhan oleh penyokong sendiri selepas tewas 2-0 kepada Brentford.
Jaringan babak pertama Ivan Toney dan Josh Dasilva menambah tekanan ke atas pengendali West Ham, David Moyes yang tewas buat kali kelima berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
West Ham hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran manakala Brentford di tangga kesembilan.
Source: hmetro.com.my