LONDON: Ketibaan Cody Gakpo di Anfield menandakan ‘penamat’ buat penyerang Brazil, Roberto Firmino bersama Liverpool, menurut bekas pertahanan Reds, Jose Enrique.
Firmino, 31, telah menghabiskan tujuh musim di Anfield dan telah memenangi pelbagai kejuaraan.
Antara penghormatan yang diraih termasuk Liga Juara-Juara, Liga Perdana, Piala FA serta Piala Kelab Dunia.
Kontraknya yang akan tamat hujung musim ini menyebabkan Enrique percaya bahawa pembelian Gakpo dari PSV ke Liverpool isyarat bahawa masa untuk Firmino hampir tamat.
Hari ini, bintang Piala Dunia Belanda berusia 23 tahun, Gakpo diperkenalkan sebagai keluarga baharu Liverpool dengan perpindahan rekod kelab, 44 juta pound (RM236 juta).
Gakpo yang meledak tiga gol pada Piala Dunia di Qatar memilih Liverpool berbanding Manchester United selepas diyakinkan oleh rakan senegara, Virgil van Dijk.
Dalam masa sama, Mohamed Salah juga telah menandatangani perjanjian baharu pada penutup musim, sementara pemain lain seperti Diogo Jota, Luis Diaz dan Darwin Nunez pula ingin bermain lebih kerap.
Itu bermakna, Firmino yang diketepikan daripada skuad Piala Dunia Brazil di Qatar akan mendapat minit permainan yang semakin berkurangan.
DARWIN NUNEZ
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp amat menghargai kualiti Firmino selama ini, jadi situasi pemain itu mungkin tidak begitu jelas seperti yang dikatakan Enrique.
Begitupun, Enrique melihat Firmino tidak mempunyai masa depan dengan kelabnya sekarang.
“Saya percaya ini bermakna pengakhiran Firmino bersama kami.
“Ia sebelum ini berlaku apabila kami menandatangani Luis Diaz menggantikan Sadio Mane.
“Saya percaya akan menjadi sama kali ini dengan Gakpo dan Firmino. Adakah anda bersetuju?” tulis Enrique di Instagram. – AGENSI
Source: utusan.com.my