LIVERPOOL: Cody Gakpo akan menjadi pemain ke-11 menyarung jersi bernombor 18 buat Liverpool selepas dia menyertai The Reds menerusi perpindahan bernilai £45 juta (RM239 juta).
Perjanjian itu disahkan awal pagi tadi, dua hari selepas PSV Eindhoven mengumumkan mereka sudah memeterai persetujuan dengan kelab Anfield untuk menjual penyerang berharga mereka itu.
Gakpo, 23, berkata dia tidak sabar untuk memulakan karier bersama kelab baharunya itu dan berharap untuk bertindak lebih bagus daripada sesetengah pemain yang menyarung jersi nombor 18 sebelum ini.
Nombor itu kali terakhir digunakan Takumi Minamino, yang mana seperti Gakpo seorang penyerang yang berpindah ke Liverpool ketika jendela perpindahan Januari.
Gakpo akan memakai jersi bernombor 18 bersama Liverpool.
Pemain antarabangsa Jepun itu muncul wira yang tidak didendang ketika kejayaan The Reds dalam Piala FA dan Piala Liga Inggeris musim lalu dan turut memenangi gelaran juara Liga Perdana Inggeris selepas menyertai kelab itu pada awal 2020, namun dia bergelut untuk mengekalkan tempatnya di bawah kendalian Juergen Klopp dan dijual kepada AS Monaco pada musim panas lalu.
Minamino menggunakan jersi nombor 18 selepas ia dilepaskan Alberto Moreno, yang menghabiskan lima musim di Merseyside namun gagal mencetus impak. Dirk Kuyt menjadi penyarung jersi itu sebelumnya dan diingati peminat kerana keupayaannya menjaringkan gol serta kerja kerasnya, di mana sahaja dia diminta beraksi.
Antara pemain lain yang turut memakai jersi bernombor 18 buat Liverpool termasuk Antonio Nunez, pemain kegemaran peminat John Arne Riise, Erik Meijer dan Jean Michel-Ferri, yang hanya membuat dua penampilan sebagai pemain gantian di bawah pengurus Gerard Houllier.
Michel-Ferri mewarisi jersi itu daripada Michael Owen, yang memakai jersi itu ketika dia baru memulakan karier di Anfield sebelum bertukar kepada jersi nombor 10.
Dua lagi pemain yang memakai jersi nombor 18 buat Liverpool adalah Phil Charnock dan Ronny Rosenthal.
Jelas ia bukanlah nombor jersi paling disegani atau dihormati di bilik persalinan Anfield, tetapi Gakpo boleh meningkatkan statusnya jika dia mampu memenuhi harapan dan jangkaan terhadapnya.
Pemain antarabangsa Belanda itu menjaringkan tiga gol pada Piala Dunia di Qatar dan menjadi pendahulu penjaring gol terbanyak dengan sembilan gol dan pengumpan terbaik (12) dalam liga Eredivisie musim ini.
Selepas melengkapkan perpindahannya, Cody memberitahu Liverpoolfc.com: “Ketika saya beraksi pada Piala Dunia, saya bermain lebih di bahagian tengah, jadi saya bertindak seperti seorang ‘false nine’.
“Saya cuba mencari ruang untuk mendapat bola dan menggelecek atau membawa bola ke hadapan. Saya cuba menjadi pemain yang bergerak ke depan dan mencetus situasi berbahaya kepada lawan serta mencipta peluang, melakukan gelecekan dan membuat umpanan serta gol.
“Saya harap boleh melakukan perkara sama terhadap pasukan. Dalam erti kata lain, saya perlu melakukan yang terbaik untuk merealisasikannya dan berharap kami boleh meraih banyak momen indah,” katanya.
source: bharian.com.my