MANCHESTER: Manchester United bertindak cemerlang hampir sepanjang perlawanan apabila mengatasi Nottingham Forest 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi namun ketika Marcus Rashford, Anthony Martial dan Fred semuanya menyumbang gol, ia satu lagi malam yang harus dilupakan buat Antony.
Dia kini sudah mengharungi 11 perlawanan buat kelab dan negaranya tanpa sebarang gol atau ‘assist’, bermakna Red Devils berdepan masalah dengan pemain sayap bernilai £86 juta (RM457 juta) itu.
Pada musim panas lalu, United sedar mereka memerlukan seorang pakar di bahagian sayap kanan. Dengan Rashford dan Jadon Sancho lebih bagus di sayap kiri, di samping pemain muda Alejandro Garnacho, pengurus Erik ten Hag tahu itulah bahagian yang perlu diperkukuhkan skuadnya.
Namun ketika United berkira-kira untuk mendapatkan khidmat Cody Gakpo, yang kini bersedia untuk menyertai Liverpool, Antony sebaliknya tiba di Old Trafford.
Ten Hag menggesa ahli lembaga pengarah Red Devils untuk mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli pemain antarabangsa Brazil itu, yang pernah beraksi di bawah kendaliannya sebelum ini di Ajax Amsterdam.
Pada awalnya, ia kelihatan seperti satu pelaburan yang berbaloi. Antony memukau pada penampilan sulungnya bersama United, membuka tirai jaringan ketika Arsenal ditundukkan 3-1 pada awal September lalu di Old Trafford.
Dia kemudiannya menyusul dengan satu gol saguhati, gol yang menakjubkan, ketika tewas 6-3 di tangan Manchester City di Stadium Etihad. Antony juga meledak gol apabila United menewaskan Everton 2-1 pada awal Oktober, dengan Cristiano Ronaldo merakam gol kemenangan pada hari itu.
Sejak itu Antony bergelut. Kecederaan menjadi satu faktor tetapi susulan persembahan hambarnya menentang Forest, dia sudah mengharungi 11 perlawanan tanpa satu gol atau ‘assist’ buat kelab dan negara.
Bagaimanapun, di sebalik masalah Antony dan pemergian Ronaldo, Ten Hag dan United boleh berasa lega mendepani cabaran tahun baharu sekalipun mereka yang menghuni tangga kelima masih ada satu perlawanan bagi tahun 2022 yang perlu dihadapi apabila menentang Wolverhampton Wanderers di Molineux, Sabtu ini.
United hanya kalah satu perlawanan dalam 14 aksi terakhir bagi semua pertandingan dan kemenangan ke atas Forest membolehkan mereka merapatkan kedudukan hanya satu mata dengan pasukan tangga keempat Tottenham Hotspur.
Berakhir dalam kelompok empat teratas dan layak ke Liga Juara-Juara menjadi keutamaan mereka tetapi masih ada trofi untuk direbut dalam Piala Liga Inggeris, Piala FA dan Liga Europa. Benar ada kekecewaan terutama kekalahan besar kepada Brentford dan Manchester City tetapi tidak diragui banyak perkara positif berbanding tempoh sama tahun lalu.
United masih mencari penyerang untuk menggantikan Ronaldo, namun tanggungjawab di depan pintu gol lawan antara kini dan Mei depan bergantung kepada Rashford dan Martial, yang turut meledak gol menentang Forest susulan umpanan Rashford.
Buat kali pertama juga dalam beberapa tempoh, peminat United berdepan tahun baharu dengan penuh keyakinan dan semuanya disebabkan kebijaksanaan Ten Hag mengatur strategi. Ada harapan di bawah kendalian pengurus baharu dari Belanda itu, tahun baharu menjanjikan beberapa kejayaan buat mereka.