London: Chelsea mungkin membelanjakan lebih £500 juta (RM2.643 bilion) untuk mendapatkan pemain hebat tetapi musim pertama di bawah pemilikan baharu bakal berakhir tanpa sebarang trofi melainkan mereka menguasai Eropah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
The Blues menentang Borussia Dortmund dalam aksi peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi Khamis tetapi mereka sudah pun tersingkir daripada kedua-dua saingan piala domestik dan menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menjuarai UCL buat kali ketiga adalah laluan terbaik Chelsea untuk kembali ke kejohanan berprestij itu musim depan selepas ketinggalan 10 mata di belakang kelompok empat teratas dalam carta liga utama England.
Skuad Graham Potter hanya menang dua perlawanan dalam 12 aksi terakhir sejak bola sepak Eropah berehat susulan musim sejuk.
Potter juga berdepan krisis kecederaan yang perlu ditangani dengan bijak selain berusaha mengekalkan keharmonian dalam kalangan 33 pemain skuad pertama.
Pembelian tiga pemain baharu Joao Felix, Mykhailo Mudryk dan Enzo Fernandez yang diharap menajamkan jentera serangan masih belum benar-benar menyengat sekali gus menambahkan tekanan ke atas Potter.
“Anda tak boleh bercakap mengenai jangka masa panjang kerana ia tidak wujud dalam tugas ini,” kata Potter.
“Anda perlu tahu terdapatnya jangka panjang tetapi ada juga jangka pendek dan pertengahan yang mencabar kami dari segi mendapatkan keputusan.”
“Kami perlu fahaminya, pergi ke Dortmund dengan penghormatan dan berusaha mencapai keputusan terbaik.”
Kegagalan melakukannya menyaksikan kemungkinan pemilik konsortium dari Amerika Syarikat beralih kepada pengurus lain untuk mendapatkan semula pelaburan mereka.
Source: hmetro.com.my